Malaysia galak negara lain percepat proses penyertaan Triti

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia terus menggalakkan negara-negara lain mempercepatkan proses penyertaan terhadap Triti sebagai manifestasi komitmen mereka terhadap pelucutan senjata nuklear secara umum dan lengkap serta penghapusan secara menyeluruh.

Wisma Putra satu kenyataan pada Sabtu berkata, Malaysia telah menandatangani Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) sebaik sahaja ia dibuka pada 20 September 2017 dan meratifikasi Triti tersebut pada 30 September 2020.

Katanya, ia menjadikan Malaysia sebagai negara pihak ke-46 kepada TPNW.

“Sehingga kini, sebanyak 86 buah negara telah menandatangani dan 59 buah negara telah meratifikasi Triti tersebut.

“Malaysia percaya bahawa TPNW mengukuhkan lagi norma bahawa ancaman senjata nuklear tidak boleh diterima sama sekali dan adalah penting bagi Triti ini untuk diterima pakai oleh semua negara dengan kadar segera,” katanya bersempena ulang tahun pertama penguatkuasaan TPNW pada Sabtu.

Triti merupakan surat cara antarabangsa pertama yang sah mengharamkan senjata nuklear secara komprehensif dan berkuat kuasa selepas memperoleh pengratifikasian ke-50 pada 24 Oktober 2020 yang lalu.

Triti yang telah dimeterai di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Julai 2017 melarang segala aktiviti yang berkaitan dengan senjata nuklear.

Larangan ini termasuk pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan, penempatan dan penggunaan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Wisma Putra berkata, Malaysia menegaskan sekali lagi komitmen tidak berbelah bahagi negara terhadap pelucutan senjata nuklear dan akan terus bekerjasama secara erat dengan rakan-rakan yang lain untuk merealisasikan matlamat dunia bebas dari ancaman senjata nuklear.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!