RMT bukan 'lubuk' raih keuntungan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA BHARU - Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidak seharusnya dijadikan sebagai 'lubuk' meraih keuntungan oleh sesetengah pengusaha kantin di negara ini.

Seorang pengusaha kantin sekolah di Kelantan, Mohd Zainuddin Ghazali berkata, tindakan itu sama sekali tidak wajar kerana ia melibatkan sarapan untuk anak-anak pelajar dari golongan miskin dan berpendapatan rendah.

"Saya cukup terkilan bila mendapat tahu ada sesetengah pihak mengambil kesempatan 'menjana' pendapatan lebih melalui RMT dengan menyediakan makanan dibawah harga sepatutnya sebagaimana telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Isu RMT ini sudah lama dan bukan timbul semasa pandemik Covid-19 yang menyerang negara pada Mac 2020 lalu. Namun situasi ini menjadi lebih parah apabila ada sesetengah pengusaha kantin menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, isu kenaikan harga barang yang dijadikan sebagai alasan ketika ini dilihat sudah tidak relevan kerana ia berlaku sejak lima tahun lalu.

Katanya, jika semua itu dijadikan alasan kenapa semua pihak sanggup berebut dengan menawarkan harga RM2.50 untuk mendapatkan kontrak menyediakan RMT.

Zainuddin berkata, individu yang terlibat dalam perkara ini disaran supaya menyemak balik kadar bayaran RM2.50 itu ditawarkan pada tahun bila.

"Pengusaha kantin mengendalikan RMT perlu mempunyai sifat timbang rasa dan bertanggungjawab dalam menyediakan makanan itu kerana ia turut melibatkan aspek tumbesaran kanak-kanak yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian 19 Januari lalu melaporkan, tular di media sosial pada Rabu pelajar penerima RMT didakwa hanya berbekalkan nasi putih dan kuah sahaja di sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!