Muafakat Kelantan kecam serangan di Christchurh
JELI - Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia (Muafakat) Kelantan mengecam sekeras- kerasnya serangan pengganas terhadap umat Islam di Masjid Linwood dan Masjid Al Noor Christchurch, New Zealand, semalam.
Pengerusinya, Azran Deraman berkata, pihaknya berharap kerajaan New Zealand dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan.
"Tragedi serangan pengganas terhadap masjid di Christchurch, New Zealand merupakan detik menyedihkan dan hari hitam buat semua di saat umat Islam di seluruh dunia sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.
"Kita menuntut kerajaan New Zealand segera menjalankan siasatan mengenal pasti punca insiden menyayat hati itu," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Menurutnya, ia juga penting bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal di atas perbuatan dilakukan.
"Dalam masa sama membolehkan mereka yang mempunyai hubung kait dengan serangan berkenaan turut diambil tindakan," katanya.
Azran berkata, pihaknya mendoakan agar semua keluarga mangsa yang terlibat tabah menghadapi dugaan berkenaan.
Dalam pada itu, serangan yang mengundang kemarahan rakyat seluruh dunia ketika umat Islam sedang bersiap sedia untuk mnunaikan solat Jumaat itu dikatakan telah mengorbankan kira- kira 49 nyawa setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!