Guru, petugas Kemas dibenarkan berpolitik berkuat kuasa serta-merta

Ismail Sabri merangkap Naib Presiden UMNO menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Kelantan di Dewan UMNO Negeri, pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri merangkap Naib Presiden UMNO menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Kelantan di Dewan UMNO Negeri, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memutuskan untuk membenarkan guru dan petugas Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kembali berpolitik dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini ada pekeliling yang menyekat guru dari berpolitik dan ramai pendidik diberikan amaran dan diambil tindakan.

"Saya telah pun bawa isu ini ke kabinet dan kabinet memutuskan kita beri kebenaran kepada guru berpolitik bagi menghormati semangat demokrasi.

"Jika pekeliling masih belum dikeluarkan, saya berharap Kementerian Pendidikan bertindak segera mengeluarkannya supaya tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini," katanya kepada pemberita, di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Dewan UMNO Kelantan, di sini. Turut hadir, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan kepimpinan UMNO Negeri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kebenaran berpolitik itu turut diberikan kepada petugas Kemas yang sebelum ini telah disekat kebebasan berkenaan.

Katanya, sebelum ini mereka dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa, namun semasa pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH), mereka tidak dibenarkan berpolitik.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa petugas Kemas juga diberikan kebenaran ini cuma mereka masih tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Kalau mereka berpolitik sehingga meninggalkan tugas masing-masing, mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya. Itu terserah kepada jabatan masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!