Nur Medina Aisya rindu kenangan bersama ayah

Wan Rosdy beramah mesra bersama Noor Nadia dan Muhammad Meqa ketika menyampaikan sumbangan RM10,000 pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Beserah di pekarangan Pusat Pengisytiharan Kampung Beserah Pantai.
Wan Rosdy beramah mesra bersama Noor Nadia dan Muhammad Meqa ketika menyampaikan sumbangan RM10,000 pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Beserah di pekarangan Pusat Pengisytiharan Kampung Beserah Pantai.
A
A
A

KUANTAN - Anak sulung kepada Mohd Fatah Hashim, 35, seorang daripada enam anggota bomba yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor sangat merindui kenangan bersama ayahnya

Nur Medina Aisya, 4, sering termenung dan menyebut perkataan 'abah' terutama ketika melihat barangan ditinggalkan Allahyarham Mohd Fatah yang sudah lima bulan meninggalkan keluarganya walaupun tidak meluahkannya

Ibunya, Noor Nadia Kamaludin, 30, berkata, dia masih menyimpan beberapa barangan arwah suaminya seperti topi bomba dan sikat di meja solek di rumahnya.

"Nur Medina Aisya sering duduk seorang dan termenung di depan cermin meja solek itu dan dia akan menyebut perkataan 'abah' apabila melihat barangan ini.

"Begitu juga ketika makan piza, dia akan menyebut perkataan 'abah' kerana arwah suami saya pernah membawa kami sekeluarga.

"Saya memahami Nur Medina Aisya merindui arwah bapanya namun dia suka mendiamkan diri dan tidak meluahkannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menerima cek sebanyak RM10,000 sumbangan kerajaan negeri di sini, semalam

Cek berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Beserah di pekarangan Pusat Pengisytiharan Kampung Beserah Pantai.

Allahyarham Mohd. Fatah berasal dari Kampung Baru Beserah di sini manakala Noor Nadia dari Johor.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian awal Oktober tahun lalu, Mohd Fattah antara enam anggota bomba yang maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas di lombong berhampiran Taman Putra Perdana.

Dalam pada itu, Noor Nadia berkata, dia dan Nur Medina Aisya bersama seorang lagi anaknya, Muhammad Meqa Al-Asyraf, 2, kini tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat di Bandar Uda Utama, Johor yang disediakan Kerajaan Johor sejak pertengahan bulan lepas

Menurutnya, selepas kematian suaminya, mereka yang sebelum ini tinggal menyewa di Kampung Delek, Klang, Selangor menumpang di Kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor.

Menurutnya lagi, dia bercadang mencari pekerjaan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi menyara keluarganya kerana menyedari tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pencen arwah suaminya.

"Ketika ini saya tidak membuat sebarang pekerjaan kerana saya ingin memberi tumpuan terhadap penjagaan anak-anak saya yang baharu kehilangan bapanya.

"Saya berharap dapat kerja yang sesuai dalam tempoh terdekat. Terima kasih kepada Kerajaan Pahang yang menghulurkan sumbangan dan wang ini akan saya simpan untuk keperluan anak-anak pada masa akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!