Kes Covid-19 sekolah, kerajaan tunggu laporan jawatankuasa protem
KOTA BHARU - Kerajaan akan menunggu laporan lanjut dari jawatankuasa protem untuk menentukan sebarang pertimbangan melibatkan isu peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan berkenaan akan diperolehi selepas jawatankuasa protem mendengar pembentangan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Kita agak sukar membuat pertimbangan apabila sekolah mula dibuka seperti ini namun kalau kita terus menutup sekolah, ibu bapa juga bimbang masa depan anak mereka.
"Pelajaran melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) juga ada yang tidak dapat diakses sepenuhnya oleh rakyat, beberapa perubahan juga telah pun dilakukan oleh KPM.
"Sekarang ini isunya kes meningkat tinggi dan mendadak, saya telah pun meminta supaya Kementerian Pendidikan membentangkan kepada jawatankuasa protem. Perkara ini perlu disegerakan untuk kita buat keputusan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Dewan Umno Kelantan, di sini.
Turut hadir, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan kepimpinan UMNO Negeri.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kes-kes jangkitan Covid-19 melibatkan pelajar sekolah semakin meningkat terutamanya sejak sesi persekolahan secara bersemuka berlangsung awal Januari.
Untuk rekod, Kelantan mencatatkan lebih tujuh kluster sejak awal minggu ini yang dikenal pasti melibatkan pelajar-pelajar sekolah dari aliran biasa dan berasrama penuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!