UMNO Johor diberi mandat tentukan PRN: Ismail Sabri
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Kelantan di Dewan UMNO Negeri hari ini. -Foto Bernama
A
A
A
Beliau yang merupakan Naib Presiden UMNO berkata, sebagaimana yang diputuskan dalam Majlis Tertinggi UMNO, perkara berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad untuk membuat keputusan dan dari segi peraturan ia juga perlu mendapat perkenan daripada sultan.
"Jadi kita serahkan kepada Johor dari segi menentukan sama ada nak pilihan raya atau tidak, tarikh dan sebagainya, kita serah kepada mereka.
"Kalau pilihanraya cepat, maka persediaan itu hanya di negeri Johorlah yang tahu kesiap siagaan mereka. Kalau mereka berasa bersedia, kita serahkan kepada Johor untuk menentukan,"katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Dewan UMNO Kelantan, di sini. Turut hadir, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan kepimpinan UMNO Negeri.
Kerajaan Negeri Johor sebelum ini menyatakan akan meneliti kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat pertimbangan sama ada PRN perlu diadakan atau sebaliknya.
Ia berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, 21 Disember lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai pertemuan Pas dan UMNO Kelantan pada Sabtu, Naib Presiden UMNO itu berkata, pihaknya optimis dengan sebarang keputusan yang akan diputuskan UMNO Kelantan nanti.
Katanya, ini kerana pihaknya mengambil pendekatan hubungan antara UMNO dan Pas di setiap negeri adalah berbeza dari segi kehendak dan situasi politiknya.
“Saya berharap keputusan ini beri faedah kepada kita dan kita sudah memberi mandat kepada UMNO Kelantan, maka kita akan beri sokongan kepada setiap keputusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!