UMNO Merbok tuntut kerusi DUN Bukit Selambau

Memorandum diserahkan Annuar kepada Ahmad Maslan (kanan) ketika pertemuan dibuat di Merbok, Kedah pada Jumaat.
Memorandum diserahkan Annuar kepada Ahmad Maslan (kanan) ketika pertemuan dibuat di Merbok, Kedah pada Jumaat.
A
A
A

MERBOK - UMNO Bahagian Merbok menuntut agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dikembalikan kepada calon parti itu setelah MIC kalah empat kali berturut-turut sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Merbok, Annuar Ahmad berkata, ia selaras dengan usul yang telah dibawa dalam Mesyuarat Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Merbok bagi tahun 2021 yang mana telah sebulat suara menuntut agar kerusi tersebut dikembalikan kepada calon UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Menurutnya, sejak tahun 2008, MIC gagal mengekalkan tradisi kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN tersebut apabila tewas empat kali berturut-turut iaitu dalam PRU ke-12 pada 2008, Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2009, PRU ke-13 pada 2013 dan PRU ke-14 pada 2018.

"Demografi terkini pengundi di DUN Bukit Selambau merekodkan sebanyak 61 peratus iaitu 31,558 pengundi adalah Melayu, manakala India hanya 21 peratus bersamaan 11,202 pengundi, Cina sebanyak 16 peratus bersamaan 8,427 pengundi dan lain-lain sebanyak 0.85 peratus merangkumi 442 pengundi.

"Sebanyak 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) terdiri daripada pengundi Melayu melebihi India merangkumi 76 peratus dan hanya lima PDM pengundi India melebihi pengundi Melayu iaitu 23 peratus,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum tuntutan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di sini pada Jumaat.

Memorandum tersebut akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Annuar, kemerosotan prestasi dan sokongan terhadap MIC yang semakin menurun sejak PRU ke-12 membolehkan tuntutan itu dibuat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, tuntutan tersebut sama sekali tidak memperkecilkan usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh MIC di mana hakikatnya parti itu masih dan terus menjadi komponen penting BN di Parlimen Merbok.

"Tuntutan ini atau mana-mana bahagian daripadanya tidaklah bersifat ingin mencetuskan perbalahan atau kontroversi, sebaliknya berfungsi sebagai suatu instrumen bagi menjunjung ketetapan yang telah dicapai dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok bagi tahun 2020 dan 2021.

"Justeru itu, UMNO Bahagian Merbok akan mengambil tindakan susulan dengan membawa sebuah memorandum khas ke peringkat cawangan, badan bukan kerajaan dan pimpinan masyarakat untuk ditandatangani bagi membuktikan sokongan bahawa kali ini calon daripada UMNO wajar diberi peluang mewakili N25 DUN Bukit Selambau,"katanya.

Beliau memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO akan membuat perbincangan dan perundingan dengan Presiden MIC bagi mencapai penyelesaian terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!