40,000 rumah tidak terjual

Raja Kamarul Bahrin (tengah) melawat reruai pemaju hartanah yang menyertai ekspo itu.
Raja Kamarul Bahrin (tengah) melawat reruai pemaju hartanah yang menyertai ekspo itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada suku ketiga tahun 2018 menunjukkan bilangan kediaman di negara ini yang masih tidak terjual direkodkan berjumlah 40,916 unit dengan nilaian RM27.38 bilion.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, jumlah nilaian hartanah itu termasuk rumah yang sudah disiapkan dan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Sehubungan itu menurutnya, penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) berpotensi menjadi satu medium atau pusat sehenti bagi agensi kerajaan dan pemaju swasta untuk memasarkan rumah mampu milik di bawah satu bumbung.

“HOC dianjurkan sebagai salah satu komitmen kerajaan untuk memastikan penyediaan rumah kediaman mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki selaras dengan Dasar Perumahan Negara yang telah dilancarkan pada 28 Januari 2019 yang lalu.

“Selain itu, penganjuran HOC juga adalah platform untuk memperkukuh, menyelaras pelaksanaan strategi dan pelan tindakan bagi menangani isu kebolehcapaian pemilikan rumah,” katanya ketika merasmikan HOC-Mapex di Paya Bunga Square, di sini hari ini.

Ekspo selama dua hari bermula hari ini itu dianjurkan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Terengganu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan & Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak dan Pengerusi REHDA Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kelayakan membuat pinjaman dengan perbankan ekoran pendapatan tidak mencapai tahap diinginkan menjadi faktor utama rumah yang disiapkan pemaju tidak dapat dijual meskipun ramai berminat memilki kediaman sendiri.

Artikel Berkaitan:

Atas dasar itu katanya, kerajaan meminta sektor perbankan memberi kelonggaran kepada pembeli sama ada dari segi berkongsi pendapatan suami isteri mahupun memanjangkan tempoh pinjaman supaya lebih ramai masyarakat khususnya golongan muda dapat membeli rumah.

“Sebagai galakan kepada HOC ini, kerajaan bersetuju memberi pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh kempen HOC yang diadakan dari Januari hingga Jun tahun ini,” katanya.

HOC telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Mac lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan kolaborasi strategik bersama REHDA. Kempen ini dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019.

Dua ekspo HOC-MAPEX akan diadakan di Terengganu iaitu di Paya Bunga Square, Kuala Terengganu pada 16 dan 17 Mac 2019 manakala di Mesra Mall, Kemaman pula diadakan pada 29 hingga 31 Mac.

"Sebanyak 16 pemaju hartanah menawarkan lebih 1700 unit kediaman bagi kedua-dua ekspo ini dengan anggaran Nilai Jualan Kasar sebanyak RM650 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!