Mangsa tipu diminta buat laporan polis
TELUK INTAN - Polis meminta mangsa yang terpedaya dengan helah seorang lelaki yang meminta wang kononnya baki pembayaran kerja-kerja simen tidak wujud untuk tampil membuat laporan polis.
Hantaran yang dibuat seorang individu tular di media sosial sejak Khamis selepas meminta orang ramai untuk mengesan lelaki terbabit yang telah mendatangi premisnya.
Dalam kejadian itu, dia didakwa telah diperdaya hingga menyerahkan wang sebanyak RM400 kononnya diarahkan majikannya untuk mengambil baki wang kerja tersebut.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan majikannya selain mendakwa dirinya seperti dipukau ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian tersebut bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.
"Saya sudah semak dengan semua Ketua Polis Balai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak namun, tiada sebarang laporan diterima setakat hari ini.
"Kita minta mangsa terbabit tampil membuat laporan polis,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!