21 terperangkap, lif PPUM rosak

Anggota bomba sedang menjalankan operasi menyelamat kesemua mangsa yang terperangkap. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur
Anggota bomba sedang menjalankan operasi menyelamat kesemua mangsa yang terperangkap. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 21 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap selepas lif kargo dinaiki mereka terkandas dalam kejadian di Menara Selatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tengah hari tadi.

Menurut jurucakap bomba dan penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian pada jam 12.04 tengah hari sebelum dua jentera FRT bersama 15 anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Salmi Abdul Mukti ke lokasi.

Menurutnya, sebaik bomba tiba di lokasi, pihaknya mendapati lif terkandas melibatkan antara tingkat tujuh dan lapan bangunan tersebut.

Seorang kakitangan PPUM mengalami kesesakan nafas dalam insiden itu. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur
Seorang kakitangan PPUM mengalami kesesakan nafas dalam insiden itu. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur

Katanya, kesemua mangsa terdiri daripada kakitangan PPUM serta orang awam sedang berada dalam lif berkenaan.

"Bomba terpaksa memotong kabel pintu menggunakan peralatan 'hydraulic cutter' dan menurunkan lif secara manual.

"Kita ambil masa kira-kira satu jam sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa dengan selamat," katanya memberitahu insiden tersebut turut menyebabkan dinding sisi kabin dalam lif tercabut, selain pintu lif turut mengalami kerosakan dipercayai akibat geseran.

Artikel Berkaitan:

Dinding sisi kabin dalam lif yang tercabut. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur
Dinding sisi kabin dalam lif yang tercabut. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur

Jurucakap bomba berkata, 21 mangsa yang terperangkap terdiri daripada tiga kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan, lapan lelaki dewasa dan enam wanita dewasa.

"Kesemua mangsa dilaporkan stabil dan hanya seorang daripada mereka yang juga kakitangan PPUM mengalami kesesakan nafas...dia kini ditempatkan di zon kuning (separa kritikal) dan akan dibenarkan pulang lewat petang nanti," katanya.

Katanya, bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, anggota yang terlibat dalam operasi menyelamat itu adalah daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pantai serta Hang Tuah.

Mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan dengan bantuan bomba. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur
Mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan dengan bantuan bomba. Foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!