Pondok Darul Syahadah tidak boleh beroperasi jika langgar peraturan

Ahmad Marzuk Shaary (dua, kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada nelayan, Fadli Abdullah, 46, (dua, kanan) di Pasar Nelayan, Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu pada Sabtu.
Ahmad Marzuk Shaary (dua, kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada nelayan, Fadli Abdullah, 46, (dua, kanan) di Pasar Nelayan, Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pondok Darul Syahadah Lubuk Kuin, Gunung Bachok yang didakwa mengamalkan ajaran bertentangan dengan Islam tidak boleh beroperasi sekiranya terbukti melanggar peraturan pihak berkuasa agama negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, aduan berkaitan sudah diterima oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) yang sedang melakukan siasatan berkait dakwaan itu.

“Perkara ini sudah berada dalam makluman Jaheaik sebelum ini dan kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri untuk membuat keputusan.

“Kalau pentadbiran pondok itu benar-benar melanggar peraturan pihak berkuasa agama negeri, maka mereka tidak boleh beroperasi manakala murid-murid perlu kembali mencari sekolah lain,” katanya kepada sidang akhbar di Pasar Nelayan, Pulau Gajah, di sini, pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan barangan keperluan asas bernilai RM40,000 pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada Nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka membabitkan 375 penerima.

Mengulas lanjut, berkaitan isu pemilikan tanah dan premis pondok berkenaan adalah terserah kepada pemilik asalnya.

“Adanya pertikaian-pertikaian lain berkaitan premis dan tempat operasi, itu terpulang kepada pemilik.

“Daripada sudut menentukan soal salah atau tidak ajaran mereka itu kita serahkan kepada pihak berkuasa negeri kerana di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya kerajaan pusat mempunyai mekanisme untuk meneliti dan mengawal seliaan sistem pengajaran di pondok-pondok dan tahfiz-tahfiz dalam negara ini.

“Sudah ada sukatan pembelajaran yang sesuai namun ada yang dicampur adukan itu menyebabkan berbangkit ajaran yang tidak bertepatan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan 55 anak-anak tahfiz pondok berkenaan terpaksa berpindah berikutan tanah dan premis yang menjadi tempat pengajian mereka perlu dikosongkan selewat-lewatnya selewat-lewat 12 Mac depan selepas dituntut semula oleh pemilik asal.

Ada dakwaan oleh bekas pengerusi pondok berkenaan sendiri bahawa pemilik tanah tersebut pernah dipanggil oleh Jaheaik bagi menyiasat pengajian di pondoknya itu yang didakwa mengamalkan ajaran bertentangan agama Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!