Tiada lagi hubungan UMNO dan Pas di Kelantan

Ahmad Jazlan (tengah) pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.
Ahmad Jazlan (tengah) pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan mengambil keputusan memutuskan kerjasama dengan Pas Kelantan melalui Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta pada Sabtu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ketetapan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas selepas pertemuan bersama Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas Pas tetap menjalinkan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pihak pimpinan Pas minta untuk kita tangguhkan keputusan, tapi saya selaku pemimpin, keputusan ini adalah yang ditunggu rakyat Kelantan yang sudah sekian lama memerhati apa yang berlaku antara UMNO dan Pas," katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri di sini pada Sabtu.

Pertemuan antara kedua-dua parti itu berlangsung di kediaman rasmi Ahmad Yakob selama lebih dua jam melibatkan Biro Politik UMNO Negeri dan Dewan Harian Pas Negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, walaupun agak sedih untuk mengumumkan keputusan berkenaan, namun UMNO harus mengakui mereka seharusnya bergerak secara solo.

Katanya, istilah yang lebih tepat untuk digunakan ialah UMNO diceraikan dengan cukup bermadah dan berhemah, bukanlah sekadar satu perpisahan biasa.

Beliau berkata, UMNO Kelantan juga tidak akan menolak kemungkinan untuk bertanding di semua kerusi iaitu 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen atas dasar yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Pas sendiri sedar kalau kita nak orang menghormati kita dalam erti persahabatan, kita mesti menghormati orang lain. Kita tidak pernah mempelawa mana-mana pihak untuk bersama dalam MN yang kita anggap mereka adalah musuh kepada Pas. Sampai macam itu kita menjaga hati dan perasaan rakan dan sahabat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang itu berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan selagi mana ahli Parlimen Pas memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, katanya, sekiranya ada perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan agama dan bangsa yang menjadi asas perjuangan, mereka masih tetap boleh duduk sepentas.

"Saya sifatkan pertemuan tadi ibarat talak tidak bersurat. Talak sebenarnya diberikan oleh Pas kepada UMNO. Bukan UMNO menuntut talak. Kita tahu, kita telah diceraikan. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

"Di dalam politik ini kita boleh bermain dengan perasaan rakyat sebab rakyat hari ini melihat dan memerhati, mereka tahu apa sebenarnya berlaku," katanya.

Ahmad Jazlan juga berharap PRU15 nanti rakyat akan memberi kepercayaan, peluang dan mandat kepada parti itu untuk mengemudi Kelantan supaya mereka boleh membuktikan apa yang boleh dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!