Tokoh ukir Terengganu meninggal
BESUT – Tokoh pengukir Terengganu, Wan Mustaffa Wan Su, 80, meninggal dunia akibat kanser usus di kediamannya di Kampung Alor Lintang, di sini jam 10 pagi ini.
Adiknya, Wan Rosli berkata, abangnya baru pulang dari menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras jam 3.30 pagi tadi.
Menurutnya, arwah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak tiga minggu lalu apabila keadaan kesihatannya semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit itu sejak Oktober tahun lalu.
“Jenazah abang saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang kira-kira jam 2 petang ini,” katanya.
Wan Rosli berkata, abangnya meninggalkan seorang balu, Yang Noriah Othman dan lima anak.
Wan Mustaffa yang lebih dikenali dengan panggilan Wan Po adalah anak kepada pengukir tersohor tanahair yang juga Tokoh Seni Negara iaitu Wan Su Wan Othman.
Allahyarham adalah salah seorang mentor bagi Program Seni Kraf Warisan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) khusus untuk memberi latihan dan bimbingan kepada belia rakyat Terengganu dalam ukiran kayu.
Malah beliau telah dianugerahkan Tokoh Seni Negeri Terengganu dan telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan Anugerah Karyawan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Wan Po yang merupakan anak sulung daripada sebelas 11 adik juga merupakan abang kepada pelakon terkenal, Wan Hanafi Wan Su dan calon PRU14 Dun Jertih, Datuk Dr. Kamarulzaman Wan Su.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!