Rakyat perlu faham keperluan PRN Johor
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah platform untuk mengembalikan semula pentadbiran kerajaan negeri yang lebih stabil dan kompeten.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, sehubungan itu rakyat di negeri ini seharusnya lebih memahami keperluan berkenaan yang hanya akan memberi lebih kebaikan pada masa akan datang.
Beliau berkata, tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga adalah satu keputusan tepat biarpun ditentang pelbagai pihak.
"Memang mereka (pembangkang) menyatakan akan memberi kerjasama penuh kepada pentadbiran kerajaan Johor sehingga tamat penggal ini walaupun memiliki majoriti tipis dengan satu kerusi sahaja.
"Namun begitu, kita perlu tahu bahawa mereka membawa usul yang berbeza.
"Jadi, keadaan itu (majoriti tipis) tidak perlu berlaku dan (PRN Johor) perlu dilakukan untuk kepentingan ramai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini pada Selasa.
Sebelum ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.
Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, di sini pada Sabtu.
Perkara itu akan menyaksikan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada Sabtu (22 Januari).
Dalam pada itu, Samsolbari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang turut menolak dakwaan PRN yang mahu dilakukan ini akan diadakan dalam keadaan tidak sesuai.
“Ketika PRN Melaka, kerajaan negeri itu dilihat melakukan tugas dengan baik dalam memerangi penularan Covid-19 serta teratur dalam pengurusan mendepani situasi sebelum, semasa dan pasca banjir.
"Isu itu tidak timbul setelah kerajaan melaksanakan tanggungjawab yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat ketika diuji bencana alam serta penularan wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, setiap daerah juga telah ditangani dengan baik dan perkara itu boleh dilihat bagaimana kerajaan Johor menangani bencana banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!