Tok Gajah lalui perubahan berperingkat
KEKECEWAAN musim lalu menjadi motivasi buat pertahanan Sri Pahang FC, Nicholas Swirad yang mengharapkan 2022 akan menjadi detik kebangkitan semula Tok Gajah untuk menjadi antara pencabar utama di Liga Malaysia (Liga-M).
Pemain yang berasal dari Manchester, England ini mengakui cukup positif melihatkan perubahan yang sedang berlaku di kem Sri Pahang terutama menerusi kehadiran pengendali baharu dari Perancis, Christophe Gamel.
Malah kehadiran pemain-pemain import seperti Johan Martial dan Mahmoud Za’tara selain pemain-pemain tempatan meletakkan Sri Pahang sebuah skuad yang berbeza dari musim lalu.
“Musim lalu saya rasa tidak sepatutnya Sri Pahang boleh berada di tahap sebegitu dan banyak perkara kami telah diperkatakan, jadi harap perubahan mampu dijelmakan untuk musim ini.
“Bagaimanapun, segala perubahan itu tidak boleh berlaku dalam satu malam sahaja walaupun pasukan telah alami perubahan dengan pemain dan jurulatih yang baharu.
“Segala-galanya perlu melalui perubahan secara berperingkat namun proses yang sedang berlaku dalam pasukan sememangnya menunjukkan kami sedang menuju ke arah yang tepat.
“Bersama Gamel, banyak pertukaran berlaku termasuk corak latihan dan beliau seorang yang begitu tegas dengan semua pemain, saya rasa ini sememangnya perubahan diperlukan dalam pasukan. Mungkin segala perkara ini akan sukar di awalnya, namun saya yakin segala perkara ini akan memberikan pulangan jangka panjang kepada Sri Pahang,” katanya.
Untuk rekod, Swirad antara pemain yang dikekalkan selepas menyertai Sri Pahang pada pertengahan musim lalu dari kelab Thailand, Nongbua Pitchaya.
Swirad bermain dalam 14 perlawanan musim lalu dan kerap kali bergandingan bersama Herold Goulon atau Muslim Ahmad di barisan pertahanan tengah, boleh beraksi selaku pertahanan tengah dan kanan.
Bagi musim ini, Swirad berazam untuk memburu minit permainan yang lebih banyak walaupun sedar semakin sengit ditambah dengan kehadiran Johan Martial selaku pengganti Goulon selain Wan Amirzafran Wan Nadris.
“Musim lalu, Goulon bermain cukup cemerlang, begitu juga dengan Muslim dan saya kena bersabar menunggu peluang. Kali ini saya nampak pertahanan lebih kuat malah teruja berpeluang untuk bermain dengan Johan yang sememangnya punyai rekod begitu hebat sebagai seorang pemain.
“Tidak dilupakan pemain-pemain lain seperti Amirzafran dan Muslim, saya rasa semua pemain yang berada di Sri Pahang adalah yang terbaik. Jadi sudah tentu saya kena tingkatkan usaha jika mahu menjadi salah seorang pemain yang sentiasa berada dalam perancangan jurulatih untuk musim ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!