Raja Permaisuri Agong ziarah Dr Mahathir
KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Ahad menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN).
Seri Paduka Baginda dilihat keluar dari IJN pada jam 9.35 pagi dan sempat melambai kepada pihak media ketika beredar meninggalkan pekarangan tersebut.
Pengamal media mula berkumpul di luar IJN sejak Sabtu bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Datin Paduka Marina yang merupakan anak Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan keadaan bapanya kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lepas.
Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari.
Beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut tersebut dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!