Ingat sejarah Melaka jatuh kerana salah guna kuasa, rasuah
MELAKA - Sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan penjajah akibat salah guna kuasa dan rasuah perlu dijadikan iktibar serta renungan masyarakat.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, kesedaran harus ada dalam keluarga dan komuniti masyarakat agar membenci serta menolak budaya rasuah yang dianggap semakin kritikal.
Menurutnya, disebabkan masih ada lagi yang mengamalkan rasuah, dapat dilihat berjuta lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dan jika situasi itu dibiarkan dikhuatiri adat dan adab akan hilang malah meruntuhkan ketamadunan bangsa.
"Melaka terkenal dengan nama Melaka bersejarah, renung-renungkan sejarah lama di mana tumpasnya empayar Kesultanan Melaka disebabkan salah guna kuasa dan rasuah.
"Lihat sendiri lambakan warga asing kerana apa? Sejak 2016 saya membuat kajian lambakan warga asing kerana berlakunya rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Singgah Santun Rasuah Busters sempena Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Ujong Pasir Sekolah Rendah Agama (SRA) Ujong Pasir, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Perkim Cawangan Ujong Pasir, Hasni Dolmat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ujong Pasir Pantai, Abdul Majid Ali.
Mengulas lanjut beliau berkata, semua pihak termasuk masyarakat perlu bekerjasama dengan pemerintah, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membanteras rasuah.
"Bukan sahaja pemberi dan penerima patut menerima hukuman malah pengamal rasuah juga, jadi sekiranya ada maklumat salurkan kepada pihak berkenaan.
"Sebab itu juga Gerakan Gabungan Rasuah Busters bersama lebih 500 kumpulan lain bergabung dan tekad untuk masyarakat saling mengingati serta berpesan-pesan supaya kita benci rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!