KBS, BAM bincang penarikan sekatan Zii Jia sertai kejohanan

Ahmad Faizal (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Hotel Casuarina Meru di Ipoh pada Ahad.
Ahmad Faizal (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Hotel Casuarina Meru di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

PENARIKAN semula sekatan terhadap Lee Zii Jia daripada menyertai kejohanan antarabangsa antara cadangan yang akan dikemukakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam pertemuan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki negara itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin itu, pihaknya telah menyenaraikan beberapa cadangan untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.

Beliau bagaimanapun tidak berkongsi butiran lanjut cadangan-cadangan terbabit, namun memberi jaminan ia bagi mencari titik pertemuan demi kepentingan negara dan sukan badminton.

"Tentunya saya ada cadangan yang akan diutarakan, cuma belum sesuai untuk saya kongsi sebelum bincang dengan BAM dan Zii Jia.

Zii Jia. - Foto AFP
Zii Jia. - Foto AFP

"Mengenai perkara itu (penarikan semula sekatan), saya akan bincangkan dalam pertemuan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Hotel Casuarina Meru di Ipoh pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berharap rakyat Malaysia dapat bersama-sama berdoa agar kedua-dua belah pihak dapat mencari penyelesaian terbaik agar tidak memberi kesan buruk kepada badminton negara.

"Kita akan sama-sama cari solusi itu demi kepentingan sukan negara, yang pentingnya kita perlu letakkan kepentingan sukan tersebut dan juga imej negara di mata dunia," katanya.

BAM dalam laporan sebelum ini telah memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari.

Ia susulan keputusan juara pemain nombor tujuh dunia itu yang mahu meninggalkan BAM menerusi surat peletakan jawatan yang dihantarnya pada 11 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!