Aksi 'superman', 'wheelie' bawa padah
KUALA TERENGGANU - Polis menahan empat individu termasuk dua beradik kerana melakukan aksi 'superman' dan 'wheelie' ketika menunggang motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan selama dua hari bermula Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, dua beradik yang berasal dari Dungun itu ditahan selepas menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya.
Menurutnya, dua beradik berusia 26 dan 21 tahun berkenaan dikesan berlumba sambil melakukan aksi merbahaya termasuk 'zig zag' bersama seorang individu lain di Gong Balai, Marang, manakala seorang lagi ditahan di Setiu.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 854 buah kenderaan dan 939 individu telah diperiksa sepanjang operasi yang diadakan di seluruh negeri.
"Selain itu, sebanyak 519 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tidak mempunyai lesen memandu, mengubahsuai ekzos, nombor pendaftaran, tiada perlindungan insurans dan cermin sisi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut Ismail, sebanyak 13 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 (1), manakala empat lagi disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan 11 pegawai kanan dan 45 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik di semua peringkat daerah di negeri Terengganu.
"Operasi ini diadakan bagi mengesan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan lalulintas di samping mengenalpasti motosikal yang diubahsuai bagi kegiatan samseng jalanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!