'Tun M boleh berinteraksi' - Marina
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad.
Menurut anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir, beliau sekeluarga telah berinteraksi dengan Dr Mahathir.
"Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin, juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh.
"Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Marina berkata, pihak IJN dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa.
Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari.
Beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut tersebut dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!