PRN Johor: MIC tidak berhasrat tanding di kerusi tradisi
JOHOR BAHRU - MIC tidak berhasrat bertanding di beberapa kerusi tradisi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana belum tentu menjanjikan kemenangan.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ini kerana situasi dan landskap politik sudah berubah serta tidak perlu meletakkan calon jika sudah mengetahui sukar untuk menang.
Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat kerana percaturan dan kaedah lama yang dipraktikkan sebelum ini sudah tidak relevan dengan trend pengundian semasa.
"Kita sudah mengenal pasti lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi tetapi masih belum diputuskan lagi. Namun kita berharap akan diberikan lima kerusi dan ini akan dibawa kepada pucuk pimpinan.
"Seperti kebiasaan, kita akan minta lima kerusi DUN dalam pilihan raya Johor, tetapi untuk dapat atau tidak itu perlu ada alasan yang munasabah.
"Kalau tahu nak kalah minta (kerusi) pun tidak guna, jadi siapa yang dirasakan boleh menang kita beri peluang, kalau terdesak itu bermakna kita kena bagi laluan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.
Vigneswaran berkata, MIC akan membuat keputusan terbaik bagi memastikan calon mereka berada dalam politik arus perdana dan kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan.
Sementara itu, ketika berucap, beliau berharap BN dapat menangkis serangan yang dibuat tentera siber pembangkang bahawa PRN Johor adalah satu keputusan yang salah.
"Ketika ini terdapat golongan 'keyboard warrior' yang mentafsirkan PRN Johor adalah sebagai satu kesalahan BN. Mereka menghasut rakyat untuk membenci kita," katanya.
Vigneswaran juga menyeru pengundi dalam kalangan masyarakat India di negeri ini untuk terus memberi sokongan kepada BN Johor yang dipimpin Hasni.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, MIC menang di kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang masing-masing dengan majoriti 5,765 dan 2,861 undi manakala di DUN Gambir dan DUN Skudai tewas masing-masing dengan majoriti 3,088 dan 35,126 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!