Dua pemain JDT perkuat Melaka United
DUA pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamad Fadhli Shas dan Muhammad Syazwan Andik menjadi taruhan terbaharu Melaka United FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Melaka United FC menerusi laman sosial Facebook dengan Fadhli dan Syazwan akan bersama skuad Hang Tuah secara pinjaman.
“Semoga dengan kehadiran kedua-dua pemain ini dapat dimanfaatkan bagi menguatkan cabaran Melaka United musim ini,” umum kelab itu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Fadhli Shas yang bermain di posisi pertahanan adalah antara tonggak utama skuad Harimau Muda A dari 2009 hingga 2014 sebelum menyertai JDT pada 2014.
Selain membuat lebih 50 penampilan bersama skuad kebangsaan, pengalaman dimiliki pemain berusia 31 tahun itu menjadi sandaran Melaka United bagi mengukuhkan benteng pertahanan.
Sementara itu, Syazwan yang boleh bermain di bahagian pertahanan kiri dan sayap adalah produk Harimau Muda B dan pernah membuat 18 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Pemain berusia 25 tahun itu pernah menyarung jersi Kuala Lumpur pada 2018 sebelum ke JDT setahun kemudian dan dia beraksi buat JDT II musim lalu.
Dalam pada itu, Melaka United mengekalkan 10 pemain tempatan termasuk penjaga gol, Norazlan Razali, tiga pemain pertahanan, Mohd Akmal Md Zahir, Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin.
Turut kekal tiga pemain tengah, Mohd Faris Shah Rosli, Hasbullah Abu Bakar dan Fakhrullah Rosli selain dua pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Faizal Talib serta penyerang, Hazim Abu Zaid.
“Selamat menyertai Melaka United juga buat dua penjaga gol baharu, Bryan See dan Ahmad Asyraaf Omar,” umum kelab berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!