SOP lebih ketat dalam PRN Johor
JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor menjangkakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat akan diperkenalkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah tersebut bagi memastikan PRN itu lancar dan selamat dijalankan.
Justeru Menteri Besar Johor itu berharap jentera yang digerakkan dalam PRN sentiasa mengutamakan kepentingan dan mematuhi SOP serta menjadi ciri utama ketika berkempen.
"Kita juga telah membuka 'command centre' di bangunan pejabat UMNO Johor untuk mengelolakan perkara tersebut dan kita akan pastikan bahawa jentera yang diwujudkan adalah mereka yang meletakkan kepentingan kepada soal menjaga SOP.
"Pematuhan kepada SOP ini penting dan yang saya harap akan menjadi satu ciri utama kepada jentera BN dalam PRN Johor kali ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini pada Ahad.
Turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.
Pada PRN Melaka lalu, BN dikompaun RM10,000 kerana didapati melanggar SOP sewaktu Majlis Pelancaran Jentera PRN Melaka yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Oktober lalu.
Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dikompaun RM10,000 masing-masing kerana melanggar SOP PRN Melaka pada 19 November lalu.
Dalam pada itu, Hasni memuji MIC yang tidak berlengah dalam menggerakkan jenteranya hanya dalam tempoh sehari selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
"Persiapan jentera MIC bukan hanya melibatkan kesemua 56 DUN di Johor tetapi juga jentera daripada MIC Pusat dan juga MIC di negeri lain.
"Walaupun keputusan berhubung pengagihan kerusi dan nama-nama calon masih belum dimuktamad tetapi jentera parti di semua peringkat telah digerakkan," katanya.
Sementara itu, Vigneswaran ketika berucap, mencadangkan Hasni dijadikan 'poster boy' untuk kempen dan yakin BN akan menang 100 peratus dalam PRN Johor.
"Beliau lebih sesuai sebagai 'poster man' dan sememangnya layak untuk menerajui BN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!