Kaji semula keputusan kekalkan Ronald

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa mengkaji semula keputusan mengekalkan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ia bertentangan dengan janji PH dalam manifesto PRU14 yang akan melantik pemimpin pembangkang mengetuai PAC. "Seharusnya, jawatan Pengerusi PAC ini diisi oleh pembangkang yang bukan sahaja untuk meneruskan akauntabiliti eksekutif.

Malah, untuk memeriksa dan memantau urusan kewangan negara serta memastikan ketelusan pengurusan dan pentadbiran kewangan negara ditadbir secara baik dan sempurna.

"Andai kata masih terus disandang oleh `orang sendiri', PH dikhuatiri tidak mendapat apa-apa manfaat selain `persepsi demi persepsi' apabila pada masa sama Speaker Dewan Rakyat sendiri sedang melaksanakan pembaharuan institusi," katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PH setuju Kiandee kekal Pengerusi PAC

Semalam, Dr Mahathir mengesahkan Ronald yang kini menyertai Bersatu masih kekal sebagai Pengerusi PAC.

Sebelum ini, manifesto PH menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada ahli Parlimen daripada pembangkang.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pelantikan Pengerusi PAC dari pembangkang berperanan sebagai semak dan imbang yang berkesan untuk mengekang ketirisan dan salah guna kuasa.

"Jika tiada semak dan imbang, maka tetap berlaku sesuatu yang tidak baik sehingga mungkin terjadi mana-mana wakil rakyat dari PH tidak dapat ditegur dan tidak dapat dihalang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) dalam satu kenyataan kecewa dengan tindakan Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, Ronald tidak seharusnya diberikan tanggungjawab memegang jawatan itu selepas beliau menyertai Bersatu, sekali gus menjadi sebahagian daripada gabungan parti pemerintah.

Sehubungan itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu menggesa semua wakil kerajaan dan pembangkang mengkritik keras tindakan Dr Mahathir kerana jelas merendahkan peranan mereka untuk menjadi ejen semak dan imbang kepada Kabinet.

“Apabila ahli parlimen pembangkang dilantik sebagai Pengerusi PAC ia akan dapat memastikan parti pemerintah tidak dapat mempengaruhi agenda PAC.

"Sepatutnya skandal 1MDB menjadi pengajaran utama kepada kepentingan PAC untuk rentas parti serta tidak diketuai oleh anggota daripada parti kerajaan.

“Mandat PAC adalah untuk menyemak semua akaun awam dan memeriksa laporan Ketua Audit Negara. “PAC mempunyai kuasa untuk menyiasat semua urusan kerajaan dengan memanggil menteri Kabinet dan ketua agensi kerajaan untuk menjelaskan sebarang kemusykilan pihak jawatankuasa sendiri mahupun oleh orang ramai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!