Mayat ditemukan dengan kesan terbakar dalam bendang
ALOR SETAR - Mayat dalam keadaan tertiarap dan terbakar ditemukan di kawasan sawah padi di Jalan Gunung, Anak Bukit, di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, laporan berhubung kejadian diterima daripada orang awam kira-kira jam 11.40 pagi.
Menurut Mior Farid, identiti sebenar mangsa belum diketahui memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya.
"Bagaimanapun, kita percaya mayat yang ditemui di kawasan bendang berkenaan bukanlah warga tempatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini.
"Kita hanya akan mengetahui sama ada penemuan mayat ada kaitan dengan kes bunuh ataupun tidak apabila memperolehi keputusan penuh selepas proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), esok," katanya.
Menurut beliau, orang awam yang kehilangan ahli keluarga diminta datang ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!