Jadi usahawan berjaya, tunduk kepada ALLAH SWT

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - “Kita bersujud dan reda kepada ALLAH SWT. Ini kerana apa jua yang kita ikhtiar dan merancang banyak perkara, tapi ingatlah pada akhirnya ia terpulang kepada ALLAH SWT.”

Demikian kata Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin ketika berkongsi pengalaman bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya tetapi tunduk kepada ALLAH SWT.

Beliau merupakan tetamu jemputan dalam program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) siri ke 41, Edisi Khas Tahun 2022 bertajuk “Sujud seorang hamba”, di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 1 Januari ini.

Program tahajud dengan pengisian tadabbur surah pilihan diadakan secara hibrid seawal jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi. Hampir 100 peserta dan kru bertugas di lokasi PPAS, manakala orang ramai mengikuti di platform Zoom dan siaran secara langsung di Facebook World Quran Hour dan Sinar Harian.

“Dalam menjalani kehidupan, kita sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jika niat kita baik, tetapi berlaku kesalahan, maka kita mohon keampunan kepada ALLAH SWT yang Maha Pengampun.

“ALLAH SWT mengurniakan akal fikiran kepada manusia. Fikirlah secara logik, lakukan dengan disiplin dan buat dengan hati. Hati kita akan memberitahu apa yang betul dan salah.”

Tambah beliau, kebanyakan anak muda hari ini hendak cepat kaya, tetapi tiada kepantasan untuk mencapainya. Dalam bidang perniagaan atau apa jua yang kita lakukan, buatlah dengan niat yang baik, dan makan dengan duit yang halal.

“Kita berniaga bukan niat untuk jadi kaya dan terkenal. Jika niat tidak betul, ia tidak mungkin terjadi. Kekadang kita mendapat kekayaan dengan cepat sehingga tidak dapat menguruskannya dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai anak muda, jangan fikir pasal duit, tetapi kerja kuat, makan duit halal, tolong orang dengan niat ikhlas, dan bukannya mengharapkan balasan. Jika kita sudah ada kemampuan, jangan lupa diri dan asal usul kita. Ini sangat penting.”

Kata beliau lagi, doa ibu bapa juga sangat mustahak. Ramai kalangan kita sibuk menggunakan telefon bimbit tetapi tidak sempat untuk menghubungi ibu bapa. Mereka cuma mahu bertanya khabar dan mendengar suara anak dalam seminit dua. Jika ibu bapa mengadu atas sebarang perkara termasuk kesihatan seperti sakit lutut dan sakit kepala, kita dengar sahaja. Apa yang paling penting, mereka doakan untuk kita.

“Saya sebenarnya hari-hari berjumpa dengan emak saya sebelum keluar rumah, di waktu pagi dan petang atau malam, walau sibuk mana sekalipun.

“Mungkin ramai bertanya, apakah tip utama menjadi usahawan berjaya? Bagi saya, kita mesti cari pasangan yang betul. Jika perempuan, carilah suami yang betul. Biarlah pasangan faham dengan kerja kita. Ini menjadi keutamaan.

“Apa pun yang berlaku kepada saya, isteri beri sokongan sepenuhnya, bahkan dia menggalakkan saya untuk jumpa emak. Kita sebagai usahawan, masa itu emas. Apa yang penting, kita menghabiskan masa yang berkualiti dan positif bersama keluarga.”

Ameer menambah, jika berlaku kesalahan dalam berurus niaga, kita jangan fikir banyak. Sebaliknya, kita bermuhasabah diri untuk melakukan perkara lebih baik. Selepas itu jangan diungkit dengan berkata kalau.

“Tok guru saya di Kelantan berpesan kepada orang kaya, tidak salah berniaga buat keuntungan, tetapi janganlah untung banyak sangat kerana tidak barakah. Apa yang kita buat hari ini bukan sekadar material tetapi perlu seimbang dengan nilai spiritual yang membawa ketenteraman.

Azam tahun ini, kita hapuskan rasuah kerana ia perkara paling buruk berlaku di negara. Sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama, perlu bekerjasama untuk menjadi bangsa lebih baik.

“Saya harapkan tahun ini kita semua mencapai kejayaan cemerlang. Apa pun yang berlaku, kita perlu bertabah kerana ALLAH ada sebab. Kita perlu sentiasa melihat hikmah di sebalik kejadian dengan positif,” katanya.

Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan dalam pelbagai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal, anjuran WUIF di sepanjang tahun ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Quran Hour.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!