Tiga maut termasuk dua beranak dalam nahas jalan raya
KUANTAN - Dua beranak antara tiga yang terkorban dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih di sini pada malam Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 malam itu, penumpang salah sebuah kereta terlibat, Azura Iskandar Mohamad, 32, bersama salah seorang anaknya, Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, maut di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu sebuah lagi kereta, Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33 rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan itu.
Menurutnya, empat yang cedera termasuk suami Azura, Mohd Fairus Md Yusof, 40, dan tiga lagi anaknya, Mohamad Al Alif Ikmal, 9, Mohamad Al Hafiz Ikram,11, dan Nurul Al Aziana Ashikin, 10.
Berdasarkan siasatan awal, katanya, kereta jenis Proton Iswara dipandu Adzarul Fadzlie dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan kereta jenis Proton Saga dinaiki enam sekeluarga yang berada di lorong kiri.
"Akibat kejadian, kedua-dua kereta itu terbabas ke bahu jalan dan satu daripadanya (Proton Iswara) telah terbakar," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kamarulzaman berkata, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan ke hospital sama," katanya.
Tambah beliau, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, susulan maklumat diterima berhubung kejadian itu, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Taman Tas digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, salah sebuah kereta telah terbakar bersama pemandu.
"Operasi pemadaman segera dilakukan sebelum api berjaya dipadamkan, namun pemandu yang terbakar disahkan meninggal dunia.
"Dua lagi mangsa yang maut dalam sebuah lagi kereta bersama empat yang cedera juga berjaya dikeluarkan," katanya.
Ismail berkata, semua mangsa yang terkorban diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!