Kes Ahmad Zahid tidak akan jadi faktor dalam PRN Johor

Mohamad ketika keluar dari Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Mohamad ketika keluar dari Mahkamah Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat bahawa kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menjadi faktor utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Menurut beliau, ia kerana kes-kes mahkamah yang melibatkan pemimpin politik UMNO telah 'dilluted' (larut).

"Sejauh mana orang hendak menggunakan kes mahkamah sebagai modal pilihan raya. Pendakwaan sedang dilakukan ataupun telah diputuskan.

"Kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun diputuskan, Ahmad Zahid hari ini, saya tidak tahu betul atau tidak. Beliau akan diputuskan sama ada perlu membela diri atau tidak perlu.

"Ini sudah dua tiga tahun. Saya tidak yakin ini akan menjadi faktor utama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas keluar dari Mahkamah Tinggi pada Isnin jam 10 pagi.

Ketika ditanya mengenai keputusan kes Ahmad Zahid, Mohamad berkata, beliau tidak tahu apa yang terjadi kerana tidak dibenarkan masuk.

Menurutnya, hanya dua orang yang dibenarkan masuk dan beliau berada di luar ketika pembacaan keputusan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak dapat masuk sebab hanya dua orang dibenarkan. Saya berada di luar, saya tidak tahu apa yang terjadi di dalam," katanya.

Pada Isnin, Ahmad Zahid Hamidi dilihat memasuki Mahkamah Tinggi pada jam 9.04 pagi.

Kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah bagi mendengar keputusan berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!