Dyche tabik daya tahan Burnley di Emirates

Dyche menyifatkan kejayaan mencuri satu mata dari utara London merupakan perkembangan positif buat Burnley.
Dyche menyifatkan kejayaan mencuri satu mata dari utara London merupakan perkembangan positif buat Burnley.
A
A
A
PENGENDALI Burnley, Sean Dyche memuji mentaliti para pemain The Clarets yang dipalit kecederaan dan jangkitan Covid-19, apabila meraih mata berharga ketika mengikat Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.

Dyche berkata, kelab berusia 139 tahun itu yang terperosok di dasar liga menunjukkan kualiti dan keazaman untuk kembali kekal bersaing di saingan liga elit tersebut.

Malah jelas Dyche, kecederaan, penularan Covid-19 dan kekalahan berturut-turut kepada Manchester United dan Leeds United sebelum ini ternyata menjejas momentum tersebut.

"Mentaliti adalah perkara terbesar bagi saya ketika ini. Sejujurnya, situasi semasa merupakan perkara yang janggal apabila kami berdepan beberapa cabaran sebenar iaitu kehilangan pemain, bermain dengan latihan terhad beberapa hari, selain belenggu kecederaan dan kes positif Covid-19 para pemain.

"Saya gembira para pemain kembali dapat melakukan perkara asas dengan baik apabila diterjemahkan dalam perlawanan ini," katanya.

Burnley sebelum ini berdepan tempoh sukar mengharungi baki saingan liga apabila dilanda kecederaan dan jangkitan Covid-19, menyaksikan Clarets bergelut menyisihkan diri dari zon penyingkiran saingan melibatkan 20 kelab tersebut.

Dyche berkata, perkara paling penting sekarang ialah memastikan para pemainnya cergas dan kembali menjalani latihan.

"Kami hanya mempunyai kumpulan yang boleh bekerjasama dalam dua hari terakhir sebelum ini, seboleh-bolehnya ia situasi yang perlu dielakkan selepas ini.

“Mudah-mudahan dalam perlawanan mendatang kita dapat semula jumlah pemain yang cergas, baik dan tajam tindakan penyudahnya,” katanya.
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!