Khaled Nordin nafi desas-desus bertanding PRN Johor
JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan desas-desus beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.
Bekas Menteri Besar Johor itu juga menegaskan beliau tidak menawarkan diri sama sekali untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Saya tidak akan bertanding atau menawarkan diri untuk bertanding pada PRN.
"Inilah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu turut menjelaskan beliau perlu memberi laluan kepada pemimpin muda di negeri ini sebagai pelapis.
"Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding.
"Saya berpandangan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi UMNO Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri," katanya.
Mohamed Khaled sebelum ini turut dikaitkan akan bertanding dan dicalonkan di DUN di daerah Kota Tinggi yang juga antara kubu kuat UMNO di Johor.
Bagaimanapun, ketika ditanya khabar angin tersebut, Mohamed Khaled menolaknya.
"Tidak...tidak. Isu ini tidak timbul. Itu bukan keutamaan saya mahu pun UMNO.
"Kena faham, kita hendak pastikan Johor kembali stabil dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding perkara lain," katanya.
Sebelum itu, Mohamed Khaled berkongsi gambar beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada 14 Januari menerusi laman Facebook.
Jelasnya, pertemuan itu adalah perkara biasa dan kali terakhir beliau menjunjung kasih diperkenankan menghadap Sultan Ibrahim adalah pada awal tahun 2022.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan itu sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa melibatkan negeri Johor seperti bencana banjir.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamed Khaled tewas di kerusi DUN Permas dengan 20,047 undi kepada Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu) yang memperoleh 28,793 undi dan majoriti 8,746 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!