PDRM siap siaga hadapi PRN Johor
SUNGAI BULOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau mana-mana negeri dan daerah jika diperlukan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam apa jua keadaan sekalipun PDRM sentiasa siap siaga untuk menjalankan tugas.
"PRN Johor apabila kita dimaklumkan, bila bubar sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN), saya sendiri telah bercakap dengan Ketua Polis Johor berkenaan persediaan anggota.
"Atur gerak anggota akan dilakukan oleh Ketua Polis Johor dan sekiranya keanggotaan tidak cukup Bukit Aman akan membantu," katanya pada sidang media pelancaran Op Selamat ke-17 di Restoran Jejantas, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini pada Isnin.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan PRN diadakan.
Keputusan baginda Sultan itu dimeterai selepas berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene di Johor pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!