Galak korporat sokong e-sukan

Syed Saddiq (tengah) bersama Khairil Anwar (kanan) selepas menyempurnakan gimik pelancaran Karnival E Sport Iskandar Investment, di sini, hari ini.
Syed Saddiq (tengah) bersama Khairil Anwar (kanan) selepas menyempurnakan gimik pelancaran Karnival E Sport Iskandar Investment, di sini, hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Belia dan Sukan menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat korporat untuk menyokong dan menyediakan platform kepada pembangunan e-sukan di negara ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, melihat kepada perubahan landskap teknologi masa kini, bidang e-sukan adalah salah satu lubuk emas di masa hadapan.

Menurutnya, menjadi satu kerugian sekiranya negara tidak mengiktiraf perkara itu, apatah lagi e-sukan kini merupakan salah satu sumber ekonomi bagi beberapa negara maju di dunia.

“Kita melihat perkembangannya di United Kingdom dan Amerika Syarikat, di sana sukan ini bukan lagi sekadar hobi semata-mata tetapi peluang pekerjaaan yang berkualiti.

“Ia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, kita melihat perkara ini bukan semata-mata kepada pemain sahaja, tetapi dalam satu struktur bidang ekonomi yang memerlukan tenaga kerja pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival E Sports Iskandar Investment di Medini City, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Syed Saddiq berkata, kemajuan sukan itu juga dapat dilihat apabila beberapa temasya sukan dunia seperti Sukan Sea dan Sukan Asean turut memberi pengiktirafan.

Artikel Berkaitan:

“Kita melihat kemajuannya apabila di Sukan Asean akan mempunyai enam medal untuk e-sukan, di masa akan datang saya percaya bidang ini tidak akan berada di satu tahap sahaja tetapi sentiasa bergerak maju.

“Sebelum ini kita boleh lihat ada persepsi negatif kepada e-sukan ini, ia sekarang dibuktikan yang bidang ini bukan semata-mata untuk syok sendiri tetapi adalah salah satu saluran untuk atlet membawa nama negara,” katanya.

Sementara itu, Khairil Anwar berkata, setelah 10 tahun membangunkan infrastruktur di Iskandar Puteri, IIB kini mengubah fokusnya kepada pembangunan digital, inovasi dan sosio ekonomi pula.

“E-sukan adalah kategori sukan yang telah mencatat rekod pertumbuhan paling pesat di peringkat global pada tahun 2017-2018, sekitar 33 hingga 38 peratus dengan jumlah pemain seramai 380 juta dengan nilai ekonomi sekitar USD 905 juta.

“Jumlah ini dijangkakan akan terus melonjak dan akan mencecah USD 1 billion dalam masa setahun dua ini,” katanya.

Untuk rekod, Karnival E Sports Iskandar Investment yang diusahakan syarikat korporat berkenaan akan diadakan pada 30 dan 31 Mac di Kompleks Sukan Educity.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!