MB Selangor minta henti tuding jari isu banjir
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa semua pihak agar berhenti menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden banjir melanda Selangor bulan lalu.
Amirudin sebaliknya menegaskan bahawa kelemahan pengurusan bencana di seluruh negara perlu dijadikan sebagai iktibar dan dapat diperbetulkan bersama-sama.
“Walaupun ada pihak kritik dia tidak boleh selesaikan masalah (banjir), dia menunjuk, (ini) salah di tempat lain, salah negeri lain salah daerah lain.
“Bila tidak boleh bagi arahan, bukan nak perbetulkan (tetapi) salahkan. Kita (Selangor) ada masalah kita hadap,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini pada Isnin.
Amirudin ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan bagaimanapun berkata, beliau tiada masa menyalahkan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kelemahan banjir di peringkat negeri.
Beliau berkata, ini adalah masa untuk semua pihak bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan isu berkaitan banjir seperti berdepan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah membuat segala persediaan diperlukan bagi menghadapi banjir di Selangor berpandukan pengalaman dan statistik mangsa banjir yang dipindahkan pada tahun-tahun sebelumnya.
"Saya rasa ahli-ahli Parlimen (pembangkang) dah menjawab (di Sidang Khas Parlimen) dan saya (juga) sedikit sebanyak sudah jelaskan dalam sidang media (malah) saya juga terangkan dengan jelas dan teliti.
"Tetapi Perdana Menteri mengambil sikap untuk tuding jari pada orang lain mungkin itu solusi dia hendak selesaikan masalah, saya tak ada masa pula nak salahkan PM dan sebagainya.
"Saya rasa ini adalah masanya untuk kita bekerjasama menyelesaikan masalah atau menangani setiap isu dan persoalan sebagaimana kita berdepan dengan krisis kesihatan yang lepas," katanya.
Amirudin berkata demikian mengulas kenyataan Ismail Sabri berhubung kelemahan pengurusan banjir di peringkat negeri pada Sidang Khas Parlimen minggu lalu.
Berhubung desakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan banjir, Amirudin memaklumkan perkara itu boleh dibangkitkan dalam sidang DUN pada 14 Mac depan.
Amirudin berkata, beliau berkemungkinan membentangkan laporan khas mengenai pertambahan belanjawan diperlukan dalam menangani hal banjir sama ada infrastruktur dan bantuan.
“Jadi, ada keperluan tiada masalah sebab saya sudah terangkan setiap hari. Mungkin Tan Sri Noh Omar (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor) tiada dalam negara ketika saya terangkan, jadi dia tidak tahu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!