Malaysia, Indonesia setuju laksana projek rintis pengambilan PDI

Saravanan
Saravanan
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 pekerja Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dari negara jiran itu seawal bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Projek rintis itu dijangka bermula seminggu selepas memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan penempatan PDI ditandatangani pada 7 dan 8 Februari ini di Bali.

"Perjumpaan hari ini saya lihat ada cahaya di hujung terowong...kerajaan Indonesia dan Malaysia berkongsi hasrat yang sama untuk membela nasib pekerja imigran dan melindungi hak-hak mereka.

"Malaysia secara prinsipnya bersetuju untuk memperkenalkan pelbagai langkah untuk membela nasib imigran khususnya tenaga kerja Indonesia,” katanya kepada media setelah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Indonesia, Ida Fauziyah, di sini.

Saravanan menjelaskan, projek rintis itu signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan MoU yang akan dipantau oleh satu jawatankuasa khas dianggotai wakil kedua-dua negara dan seterusnya menambah baik sebarang kelemahan yang timbul.

Dalam pertemuan kali kedua dengan Ida Fauziyah dalam tempoh dua bulan itu, Saravanan berkata, Indonesia turut bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan selepas pertemuan, kementerian menjelaskan kebenaran itu merupakan permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April 2021.

MoU induk (yang bakal ditandatangani) telah dipersetujui kedua-dua negara termasuk isu-isu utama seperti One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI.

Artikel Berkaitan:

One Maid One House akan menggantikan cadangan One Maid One Task iaitu satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang, manakala One Channel System akan dijadikan sebagai saluran tunggal kemasukan PDI ke Malaysia.

Isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin.

MoU PDI ditandatangani buat pertama kalinya pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!