1,000km denai tepi sungai sudah dipulihkan: KASA

Kerja-kerja pembersihan kawasan Sungai Galing telah dilakukan pelbagai agensi kerajaan dan penduduk setempat pada program 'mari kita kudah' di Sungai Galing di sini pada Isnin.
Kerja-kerja pembersihan kawasan Sungai Galing telah dilakukan pelbagai agensi kerajaan dan penduduk setempat pada program 'mari kita kudah' di Sungai Galing di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah memulihkan 1,000 kilometer (km) denai tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam menerusi program Denai Kebangsaan di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, pemulihan denai sungai dapat dilakukan selepas kerajaan negeri mengenal pasti kawasan rizab sungai untuk dinaiktarafkan melalui pembinaan denai dan aktiviti pengindahan sungai menerusi program itu.

"Kalau ikutkan perancangan pihak kita menyasarkan pembinaan 10,000km denai di seluruh negara menjelang tahun 2030. Sejak pelaksanaan program ini (Denai Kebangsaan) kita sudah pulih 1,000km denai tepi sungai di seluruh negara.

"Bagi tujuan pemulihan, pihak kita sudah membelanjakan hampir RM10 juta pada setiap tahun bagi tujuan menjadikan kawasan tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya program 'mari kita kudah' di Sungai Galing di sini pada Isnin.

Hadir sama pada program itu, Datuk Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Menjawab pertanyaan mengapa Sungai Galing dipilih, Zaini menjelaskan, Sungai Galing mempunyai nilai sejarah tersendiri dan merupakan tapak wujudnya Bandaraya Kuantan.

Katanya, disebabkan itu denai tepi Sungai Galing ini perlu dipulihkan agar ia menjadi satu kawasan rekreasi dan tarikan kepada penduduk tempatan dan juga luar.

Artikel Berkaitan:

"Kita hendak pastikan Sungai Galing ini perubahan dari segi kualiti air dan masyarakat setempat khususnya mereka yang berada di pinggir sungai menjaga sungai ini sebaiknya.

"Hari ini, kita sudah bersihkan kawasan Sungai Galing dan banyak sampah sarap berjaya dikutip. Kita harap selepas pembersihan sungai dibuat tiada lagi pencemaran di dalam sungai ini," ujarnya.

Menurutnya, kewujudan denai di tepi sungai akan menggalakkan aktiviti seperti berjoging, berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat.

"Kehadiran orang ramai di kawasan tersebut akan menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa sampah sarap, di samping berpotensi menyumbang kepada ekopelancongan setempat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!