Terharu terima rumah seperti dijanjikan
YAN - Bapa kepada dua kanak-kanak yang maut ditetak ketika tidur di Kampung Tengah Jalan Kuala Sungai Yan terharu apabila rumah yang dijanjikan untuknya siap dibina.
Idris Saad berkata, dia berasa sangat terharu dengan sumbangan ini dan berterima kasih kepada pemberi zakat di negeri ini.
Katanya, tanpa pemberi zakat, tidak mungkin pihak zakat akan mempunyai dana untuk membantu beliau sekeluarga.
"Saya dan isteri sebelum ini tinggal di rumah pusaka milik emak bersama tiga anak dan seorang abang.
"Selepas kejadian yang menyebabkan saya kehilangan dua anak, saya rasa trauma nak masuk ke dalam rumah yang sama dan isteri pun rasa benda yang sama," katanya.
Katanya, dua anaknya meninggal serentak ekoran dibunuh rakan baiknya yang juga sekampung.
"Sememangnya saya memerlulan masa untuk mengubati rasa sakit hati yang kami sekeluarga rasai," katanya.
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tampil membantu beliau sekeluarga dengan mendirikan sebuah rumah yang bernilai RM43,000.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, memahami situasi yang dialami keluarga berkenaan pihaknya berusaha keras bagi memboleh rumah ini disiapkan dengan cepat.
"Penyerahan kunci kepada Idris disempurnakan oleh Pegawai Daerah Yan, Yusri Md Daud.
Zakaria berkata, diharapkan dengan bantuan ini Idris sekeluarga dapat meneruskan hidup dengan selesa dan lebih sempurna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!