Mazlan nafi akan bertanding atas tiket Bersatu
JOHOR BAHRU - "Saya tidak mungkin bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini," kata Mazlan Bujang.
Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menjelaskan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Mazlan yang merupakan bekas Pengerusi Bersatu Johor menegaskan beliau masih ahli Bersatu.
"Sehari dua lagi saya akan buat keputusan, namun yang pasti saya tidak akan bertanding PRN Johor atas tiket Bersatu.
"Ini kerana saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan jika terus bersama parti itu.
"Bersatu bukan milik Muhyiddin kerana pemimpin boleh bersilih ganti, namun saya tidak mungkin terus bersama parti itu yang dipimpin beliau, kerana prinsip kami tidak sama," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Ditanya sama ada beliau mendapat tawaran parti lain pada PRN kali ini, Mazlan menafikan dakwaan terbabit.
"Setakat ini tiada parti yang menawarkan apa-apa kepada saya, cuma akan datang saya tidak pasti.
"Tunggulah sehari dua nanti saya putuskan haluan politik saya," katanya.
Sebelum itu pada 20 Januari lalu, Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.
Beliau sebelum ini menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!