NGO desak kerajaan Pulau Pinang dengar suara rakyat

Muhamad Farid (dua, kanan) bersama pemimpin masyarakat kawasan Teluk Kumbar meninjau salah satu lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja asing yang sudah dipagar.
Muhamad Farid (dua, kanan) bersama pemimpin masyarakat kawasan Teluk Kumbar meninjau salah satu lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja asing yang sudah dipagar.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mendengar suara pelbagai pihak berhubung cadangan pembinaan tiga asrama pekerja asing di Teluk Kumbar yang boleh memberi kesan kepada kehidupan masyarakat setempat.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, keengganan kerajaan negeri mendengar suara dan bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan pembangunan itu juga telah menafikan hak penduduk tempatan yang seharusnya diberi keutamaan.

Menurutnya, bukan sahaja ribuan penduduk yang membantah projek berkenaan malah kesemua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Sungai Batu dan Teluk Kumbar turut menyatakan pendirian sama termasuk beberapa kariah masjid di sini.

"Tentangan mengenai projek ini juga pernah disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dalam sidang DUN yang mahukan projek itu dibatalkan atau dipindahkan ke tempat lain.

"Namun kerajaan negeri dilihat berkeras mahu meneruskan projek ini walaupun ia telah dibantah oleh wakil rakyat kawasan itu sendiri selain menolak pandangan MPKK yang sentiasa berada di lapangan dan mengetahui masalah di kawasan mereka ini.

"Kalau suara-suara pemimpin setempat ini kerajaan negeri tidak endahkan jadi pandangan daripada siapa mereka mahu dengar?

"Jelas di sini ada agenda tersembunyi yang mahu dibuat tanpa mempedulikan suara rakyat Pulau Pinang yang akan terkesan dengan pelbagai malapetaka sekiranya projek ini diteruskan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut Mohd Sophian berkata, kegagalan menguruskan penempatan pekerja warga asing di Pulau Pinang sangat ketara dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berlaku di kawasan Teluk Kumbar yang sekali gus akan mengubah landskap dan kehidupan penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerajaan negeri seharusnya mengambil iktibar apa yang berlaku di kawasan Relau dan Nagasari di Seberang Perai selepas ia dipenuhi warga asing hingga mencetuskan pelbagai masalah dan mengundang rasa tidak selesa penduduk tempatan.

"Disebabkan kawasan berkenaan dipenuhi warga asing nilai hartanah di situ juga menyusut malah pelbagai masalah sosial yang berlaku.

"Semakin lama warga asing sudah berani untuk buka perniagaan mereka di sini dan mereka cuba menguasai kawasan berkenaan hingga mengakibatkan ekonomi peniaga tempatan terjejas," katanya.

Oktober tahun lalu Sinar Harian melaporkan sekumpulan penduduk di sekitar Bayan Lepas, di sini membantah cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing yang ingin dibangunkan di Teluk Kumbar tidak lama lagi.

Mereka mendakwa projek penempatan asrama pekerja warga asing itu hanya akan mengundang mudarat dan pelbagai masalah pada masa akan datang selain bakal menjejaskan kualiti hidup mereka sebagai penduduk tempatan.

Difahamkan tiga kawasan yang akan dibangunkan penempatan asrama pekerja asing itu di Lot 239,284 Mukim 11 Bukit Belah, Sungai Batu; Lot 1435,1437 Bagan Teluk Kumbar dan Lot 1859,1860, 1865 Tingkat Teluk Kumbar.

Dianggarkan tiga penempatan itu boleh memuatkan kira-kira 50,000 pekerja warga asing dan jumlah itu mengatasi bilangan penduduk tempatan yang kebanyakan masyarakat Melayu di sini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, daripada analisa yang dilakukan pihaknya mendapati kawasan Teluk Kumbar dan Sungai Batu serta kawasan Gertak Sanggul bukan zon perindustrian hingga memerlukan penempatan itu perlu dibina di sini.

Muhamad Farid menunjukkan pelan lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.
Muhamad Farid menunjukkan pelan lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar.

Tambah beliau, kerajaan negeri sebelum ini melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) mencadangkan pembangunan kilang di sini berteknologi terkini revolusi industri 4.0 dengan robotik namun kenapa masih memerlukan pekerja warga asing yang ramai.

"Kerajaan negeri harus memikirkan keperluan rakyat dan bukannya keperluan pemaju.

"Kita tidak nampak kebaikan untuk masyarakat setempat hasil daripada pembinaan projek ini melainkan kemudaratan berpanjangan dan berkekalan, saya juga hairan kenapa Ahli Parlimen Balik Pulau tidak pernah bersuara mengenai isu ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk meluluskan atau membatalkan projek ini dan mereka juga boleh memberikan seribu alasan untuk melaksanakan atau sebaliknya.

Tegasnya, kerajaan negeri seharusnya mendengar rintihan rakyat dan bukannya desakan pemaju berkepentingan dalam pembinaan asrama pekerja warga asing ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!