Pegawai, bekas pekerja Sivarasa akan kemuka pembelaan di mahkamah
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa mengulangi pendirian bahawa pendakwaan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan pusat khidmat Parlimennya sebagai tindakan yang menyalahgunakan kuasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa kakitangannya, Naveen K Rasiah dan bekas kakitangan pusat khidmatnya, Nico Kam telah dijamin sebanyak RM10,000 pada Isnin selepas mereka kononnya didakwa atas kesalahan rasuah lebih empat tahun lalu.
Menurutnya, kes berkenaan telah disiasat hampir empat setengah tahun lalu iaitu pada September 2017 dan menyifatkan kes tersebut sepatutnya ditutup kerana tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil SPRM selepas siasatan untuk tempoh tersebut.
"Kes ini memang tidak berasas. Kes ini hanya dihidupkan selepas saya bangkit isu pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM bulan lepas di Parlimen. Ini kes balas dendam terhadap saya dan staf saya telah dijadikan mangsa.
"Naveen dan bekas staf saya, Nico akan mengemukakan pembelaan mereka dengan tegas di mahkamah. Mereka tidak bersalah," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Sungai Buloh itu mendakwa tindakan SPRM membuka semula pendakwaan terhadap seorang pegawainya adalah bertujuan mencemarkan imej pusat perkhidmatannya.
Beliau mendakwa, kes dakwaan rasuah empat tahun lalu itu juga dipercayai ditimbulkan semula kerana tindakan pihaknya membangkitkan kontroversi pemilikan saham membabitkan Azam sejak lebih sebulan lalu.
Menurutnya, ini kerana siasatan dilakukan terhadap beberapa pegawainya termasuk Naveen pada 2017 berkaitan kesalahan rasuah membabitkan pemberian permit pekerja asing itu tidak disusuli dengan sebarang pertuduhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!