Polis Kelantan gabung tugas Amanita, URB dan MPV banteras jenayah

Shafien
Shafien
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memperkenalkan kaedah baharu dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini dengan menggabungkan penugasan skuad Aman Wanita (Amanita), Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jika sebelum ini skuad Amanita menumpukan kes keganasan rumahtangga dan penderaan membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak manakala MPV dan URB menumpukan kawasan rondaan, kini ketiga-tiganya diselaraskan dalam satu pasukan.

"Kita mahu mereka (Amanita, MPV dan URB) bergerak bersama dan seiringan ketika melakukan rondaan.

"Apabila pasukan ini bersama, ia akan memberi impak lebih baik kerana dapat mengurangkan kadar jenayah di sesuatu kawasan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Watikah Ketua Amanita Jabatan dan Ketua Amanita Daerah serta Penyerahan Baju Korporat Amanita 2022 Peringkat Kelantan di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai Op Selamat Tahun Baharu Cina, Shafien berkata, pihaknya menjangkakan hampir 800,000 kenderaan memasuki negeri itu sempena sambutan perayaan itu pada 1 Februari depan.

"Sekatan jalan raya akan diadakan di semua pintu sempadan negeri seperti Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh supaya aliran trafik berjalan lancar selain memastikan tiada kes jenayah berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, pihaknya sedang memburu enam lelaki Rohingya kerana dipercayai memukul seorang lelaki yang menyamun rumah kongsi mereka di Kampung Pauh Badang di sini, 18 Januari lepas.

"Mangsa mendakwa dia dipukul sekumpulan lelaki Rohingya di tempat kejadian hingga patah tangan kanan dan kaki kanan namun siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!