Nelayan Vietnam tak sempat 'curi' hasil laut

Enam nelayan Vietnam ditahan dipercayai menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara. - Foto Ihsan Maritim Malaysia Terengganu
Enam nelayan Vietnam ditahan dipercayai menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara. - Foto Ihsan Maritim Malaysia Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam nelayan Vietnam tidak sempat 'mencuri' lebih banyak hasil laut di perairan negara apabila mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot nelayan berkenaan ditahan kira-kira jam 3 petang, 72 batu nautika dari Timur Laut Kuala Terengganu pada Ahad.

Menurutnya, bot nelayan dengan nombor pendaftaran asing yang mencurigakan itu dikesan ketika rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di perairan Terengganu.

"Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan enam kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 17 hingga 54 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.

Muhammad Suffi memberitahu, tekong bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Tambah beliau, siasatan mendapati mereka baru sahaja memasuki perairan negara berdasarkan bekalan ais dan makanan yang masih banyak di dalam bot berkenaan.

"Nelayan itu tidak sempat mengaut lebih banyak hasil laut kerana kuantiti yang ada sedikit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bot bersama enam kru serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!