Suami isteri ditahan edar dadah, miliki pistol
IPOH - Sepasang suami isteri berusia 30-an antara 496 individu yang ditahan polis selepas disyaki mengedar dadah dan memiliki sepucuk pistol dalam serbuan Op Tapis Khas Kontinjen Perak.
Serbuan yang dijalankan serentak di seluruh negeri bermula sejak Jumaat hingga Ahad lalu melibatkan 324 pegawai dan anggota telah menahan 120 tokan dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver.38 bersama tiga butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Mambang Di Awan, Kampar pada Jumaat lalu.
Menurutnya, pasangan itu direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)1971.
"Serbuan turut dilakukan di 32 sarang penagih dadah yang telah dikenalpasti bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
"Hasil serbuan berjaya menangkap 489 lelaki dan tujuh wanita termasuk 16 warga asing terdiri daripada warga Vietnam, Thailand dan Myanmar berusia 18 hingga 71 tahun," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.
Mior Faridalathrash berkata, lebih 1.1 kilogram dadah antaranya heroin, syabu, ganja serta 25 biji pil erimin 5 dan ekstasi, 81.73 liter air ketum dirampas dengan nilai RM67,795.60.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak turut menyita dua kereta, sembilan motosikal dan wang tunai dengan keseluruhan berjumlah RM97,082.
"Daripada keseluruhan tangkapan, 84 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 122 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 254 penagih dadah.
"Seramai 36 individu ditangkap di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 selain 15 individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki," katanya.
Menurut beliau, polis berjaya mengenalpasti 50 penagih dadah tegar dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan.
"JSJN akan terus memperhebatkan operasi pembanterasan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah dengan hasil kerjasama erat antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!