Henti ganggu, siasat penganjur #TangkapAzamBaki - Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah menghentikan gangguan dan siasatan terhadap penganjur himpunan #TangkapAzamBaki.
Anwar yang berkongsi perkara itu di Facebook pada Isnin berkata, himpunan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar Sabtu lalu bertujuan menyatakan bantahan dan menganjurkan demonstrasi secara aman merupakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Langkah ini ternyata satu tekanan terhadap mereka dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini.
“Justeru itu, segala siasatan dan intimidasi terhadap mereka mesti segera dihentikan,” katanya.
Sementara itu, pada Sabtu, polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung himpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Jalan Bangsar.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan peserta demonstrasi ingkar arahan pihak berkuasa yang melarang sebarang perhimpunan diadakan di ibu negara.
-TAMAT-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!