32 syarikat dari tiga negara dibenar import ayam sejuk beku
BESUT- Kerajaan telah memberi kelulusan untuk mengimport ayam bulat sejuk beku ke Malaysia kepada 32 syarikat dari tiga negara, setakat ini bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah yang dihadapi rakyat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pengimportan dari negara berkenaan iaitu Thailand, China dan Brazil itu bagaimanapun akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam di negara ini stabil semula.
"Jadi, ini langkah sementara yang dibuat MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) untuk memastikan bekalan ayam mencukupi bagi negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Benting Lintang di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ronald berkata pengimport dari negara berkenaan perlu mematuhi segala syarat ditetapkan termasuk dipastikan status halal.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember tahun lepas berkata kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.
Susulan itu, MAFI dalam kenyataan memaklumkan kebenaran pengimportan ayam sejuk beku adalah untuk tempoh tiga bulan bermula Disember 2021 hingga Februari ini.Terdahulu, Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Benting Lintang menyaksikan sebanyak 50 unit perumahan nelayan berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air, bakal dibina.
Projek yang merupakan usaha sama Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu menelan kos sebanyak RM7.6 juta dan akan mula dilaksanakan bulan ini serta dijangka siap menjelang Julai 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!