‘Kerjasama politik dengan parti pembangkang lain akan dimuktamad’

 Pakatan Harapan
Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan nanti.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRN Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang telah diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.

Keputusan baginda Sultan itu dimeterai selepas berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut berpendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memperbetul prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Johor bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.

Kata mereka, ini memandangkan wabak Covid-19 di Malaysia sudah semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif Covid-19 serta jumlah kemasukan ke hospital agak stabil di samping jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

Artikel Berkaitan:

Menurut Majlis Presiden PH, pembetulan SOP bagi kempen PRN Johor terbabit termasuklah membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah ke rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat.

Selain itu kata mereka, akses media perlu diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa dan cetak.

“SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik dan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari,” kata mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!