Hantar memorandum bantah penutupan SK Assumption ke KPM
BUTTERWORTH - Satu memorandum bantahan akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung arahan mengosongkan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata, memorandum berkenaan akan dihantar pada Khamis depan bersama beberapa orang wakil pemegang taruh dalam usaha menyelamatkan sekolah berkenaan daripada ditutup.
Menurutnya, pelbagai usaha yang dilakukan pihaknya bersama kerajaan negeri termasuk menyelesaikan isu tanah yang menjadi punca sekolah berusia sembilan dekad itu ditutup.
"Ketika kami masih berusaha ingin kekalkan SK Assumption terus beroperasi, tetapi KPM pula mencari alasan lain dengan menyatakan jumlah pelajar sekolah itu merosot dan justifikasikan penutupan sekolah tersebut.
"Isu tanah SK Assumption adalah isu kedua, kita sedang berusaha untuk selesaikannya tetapi kementerian pula giat untuk menutup sekolah ini yang akan memadamkan sejarah dan warisan Butterworth," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Katanya, sekiranya KPM enggan menarik balik keputusan ini, pihaknya akan turun ke Putrajaya untuk mengadakan protes bantahan.
Pada Isnin, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 53 orang murid SK Assumption disuraikan ke sekolah berhampiran.
Ketetapan itu diambil berdasarkan trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!