Wanita tertinggal Mykid anak: KKM mohon maaf
PASIR GUDANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon maaf berikutan insiden seorang wanita yang tidak berpuas hati ekoran diminta mengemukakan MyKid bayinya yang tertinggal ketika hadir bagi mendapatkan rawatan awal di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kejadian itu sebagai agak malang dan beliau yakin ia sama sekali tidak disengajakan.
"Saya kira dalam banyak hari kita beroperasi sejak 8 Mac lalu, tidak berlaku kes seperti itu yang mana tidak belaku dalam tempat kita merawat tetapi berlaku di kawasan kemasukan pintu.
"Agak malang perkara ini berlaku, saya harap mangsa akan dapat kembali dan dirawat semula meskipun kes berat atau tidak, itu tidak kira kerana kejadian sudah berlaku dan kita meminta maaf," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di pusat rawatan awal Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Pencemaran kimia: Ibu tak puas hati
Terdahulu, seorang ibu dari Taman Pasir Putih di sini Saloma Hassan, 39 mendakwa ketika tiba di pintu masuk 'medic base' dia diminta membawa MyKid sebelum boleh mendapat rawatan.
Katanya, dia terlupa membawa sekali MyKid anak kerana berada dalam kelam kabut selepas melihat keadaan kesihatan anaknya.
Jelasnya, dia hadir ke pusat berkenaan kerana berlaku kecemasan sebaliknya kesal dilayan seperti itu.
Dzulkefly berkata, justeru itu semua pihak perlu melihat kembali mengapa berlaku kes seperti itu yang turut mengejutkan para doktor dan kakitangannya.
"Ia mengejutkan para doktor dan kakitangan kita kerana kita tidak meminta Mykid. Kita tidak meletakkan itu sebagai syarat. Namun ini telah berlaku sekali dan saya harap ia dapat ditangani segera dan kita sedia memohon maaf," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!