Piala Sultan Azlan Shah singkap tirai November depan
SAINGAN Piala Sultan Azlan Shah kembali memeriahkan arena hoki tanah air pada 15 hingga 25 November depan setelah hampir tiga tahun menyepi.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan tarikh penganjuran itu telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika wakil mereka melakukan kunjungan hormat ke atas baginda di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur pada Isnin.
Kunjungan hormat ke atas baginda diketuai Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, timbalannya Prof Datuk Dr S Shamala serta Presiden Persatuan Hoki Perak (PHA), Mohd Sayuti Abd Samat.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan mendapatkan perkenan Sultan Nazrin bagi penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, menurut kenyataan dikeluarkan KHM.
Selain penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, Subahan dalam kunjungan itu turut memaklumkan perkembangan dan perancangan dibuat KHM kepada baginda sepanjang tahun ini.
Untuk rekod, kali terakhir Piala Sultan Azlan Shah berlangsung adalah pada 2019 manakala edisi 2020 ditangguh ke 2021, namun akhirnya dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!