KL dikejutkan dengan hujan batu
KUALA LUMPUR- Penduduk di beberapa kawasan di ibu negara dikejutkan dengan kejadian hujan batu pada Isnin.
Kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku di beberapa kawasan antaranya Ukay Perdana dan Wangsa Maju.
Fenomena itu menjadi tular di laman media sosial apabila netizen mula berkongsi perihal hujan batu tersebut.
Pelakon, Adam Corrie Lee Abdullah menerusi hantaran di Facebooknya berkata, fenomena hujan batu itu merupakan kali pertama berlaku dalam hidupnya.
“Sekarang tengah hujan lebat, tiba-tiba dengar bunyi bising, keluar rumah tengok ada banyak ketulan ais jatuh ke lantai rumah.
“Hujan batu pertama kali dalam hidup, MasyaAllah, SubhanaAllah, Allahuakbar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut satu infografik yang dikongsikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan batu adalah sejenis kerpasan pepejal atau gumpalan ais tidak sekata yang terhasil dalam awan ribut petir atau Kumulonimbus (Cb).
“Ia biasa berlaku apabila keadaan atmosfera tidak stabil dan di dalam awan Cb kehadiran arus menaik yang kuat berserta udara yang tinggi menghasilkan ketulan ais.
“Hujan batu biasanya berlaku apabila ketulan-ketulan ais tersebut jatuh dan tidak cair sepenuhnya sebelum mencecah bumi,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, MetMalaysia berkata, ia boleh terjadi di sebarang tempat apabila ribut petir berlaku terutamanya yang melibatkan pembentukan awan Cb yang kuat.
Tambahnya, fenomena hujan batu ini akan memberi kesan antaranya kerosakan pada kereta, pesawat, tingkap dan struktur berbumbung kaca.
“Ia juga memberi kesan kerosakan kepada tanaman, bangunan, harta benda awam, dan kecederaan kepada manusia.
“Selain itu, mereka dinasihatkan untuk mengelakkan berada di kawasan lapang, segera berlindung di bangunan yang kukuh dan selamat.
“Jauhi tingkap dan parkir kenderaan di tempat yang tertutup atau struktur yang kukuh seperti di bawah jambatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!